Sebut saja romantik, anak muda mula
tertarik hati. Mungkin yang diketahui romantik sesama ‘couple’…No..No..No..ini
romantik sesama pasangan suami isteri.. Apa lagi…Jom ramai-ramai kita pakat
kahwin. Isy..Isy..best oo kahwin…kalau tak percaya..cubalah kahwin
.

Rasulullah SAW adalah gedung segala
sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya.Allah membimbing
baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada
baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud : “Dan
sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang
membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW.Membuatkan hati mereka
mencintai baginda.Menmpatkan baginda sebagai tumpuan hati.Bahkan berapa ramai
yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan
akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi
SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di
hadapan manusia.Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda.Meneliti satu
persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya.Mereka ialah serikandi
rumahtangga baginda Nabi SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami
bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu
menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah seorang panglima
perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih
sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya.
Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan
dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis
dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW
yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia.Namun atas tawaduk dan
romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama
isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah
bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan
bahawa Aisyah berkata bahawa : “Aku sering mandi bersama Nabi
Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi
mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu
sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh
diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan
pekerjaan.Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW
bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika
hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya
Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru
hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan
Muslim.Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan.Di dalam
Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di
sisi unta baginda.Kemudian baginda menekukkan lututnya.Lalu isteri baginda
Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas
unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada
isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng
isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik
menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri
Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di
malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang
pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama
isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah
apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan
berbincang-bincang dengannya”. Malah apabila baginda ingin keluar
baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah
Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar.Sehinggakan suatu
ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan
di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama.
(Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan
suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih
Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu
nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut
isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun
bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin
malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah
rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya
sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu
mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu
melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang
garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama.Nabi SAW tidak
mendidik para isteri untuk takut kepadanya.Namun didikan sebagai pemimpin
rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih
menghormati.Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut
meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari
diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih
antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “
Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi
isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai
mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan
beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya
sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi
SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku
sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan
sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata “
Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.”Ada
suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama
ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah.Lalu baginda mendukung
Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda
mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di
atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim).Begitu juga isteri
Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi
ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan
keras.Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian
baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya.Dikala
isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan.Sewaktu isteri dalam kedukaan,
baginda bukanlah sekadar pemerhati.Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan
kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah
orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut
dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan
Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
Baginda paling banyak bergurau senda
bersama isterinya.Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW)
kerumah Aisyah.Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan
kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia
menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah),
makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan
berkata : Aku tidak akan memakannya”.Lalu Aisyah mengambil makanan
dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa.Kemudian Rasulullah
menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah.Setelah Saodah
mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya)
Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya.Pernah juga
Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang
hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah
SAW.Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi
SAW.Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan.Sehinggalah ayat-ayat
cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap
isterinya.Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai
si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”.Membuatkan ikatan itu lebih intim.
Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang
bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat
Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya
rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama
isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat
memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini
suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut
petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri.Andai isteri berasa pelik
dari mana datangnya sikap romantis seorang suami.Adakah suami baru sahaja
selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet.Jawablah dengan
manja.Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya
daripada hadis Nabi SAW.
No comments:
Post a Comment